Monday, July 16, 2012

Kelebihan Ketawa dari Sudut Kesihatan


1.    Mengurangkan risiko penyakit jantung - Penyelidikan yang dijalankan mendapati, ketawa boleh mengembangkan dinding dalam arteri. Dengan itu, ia meningkatkan aliran darah. Kesan positif ini berkekalan sehingga 30 – 50 minit.

2.    Mengurangkan stress - Sebagaimana juga senyum, ketawa juga mampu mengurangkan stres yang kita sedang hadapi. Ketawa mengurangkan paras hormon stres. Oleh itu, ketawalah kerana ia berkesan untuk mengatasi stres.

3.    Membaiki pernafasan - Kesan ketawa boleh membersihkan paru-paru. Ini sama seperti kita menarik nafas dalam. Ketawa amat membantu mereka yang mengalami masalah pernafasan seperti asma. Semasa stres juga pernafasan menjadi pendek, menyebabkan pengumpulan karbon dioksida dan sisa udara di dalam paru-paru. Ketawa di perut memaksa udara keluar dari paru-paru hingga ia menjadi kosong, diikuti dengan tarikan nafas yang dalam. Oleh itu, ketawa berulang kali boleh membersihkan tubuh dan menjadikan ia lebih bertenaga kerana kemasukan oksigen yang baru.

4.    Baik untuk bahagian perut - Ketawa yang pecah di perut baik untuk organ-organ dalaman sekitar perut seperti hati, buah pinggang, pankreas, limpa dan kelenjar ginjal. Hasilnya, aliran darah lebih lancar dan berfungsi lebik baik.

5.    Melonjakkan sistem imun - Sepertimana senyum, para penyelidik mendapati, ketawa juga dapat meningkatkan sistem imun kita yakni menambahkan bilangan penghasilan antibodi (T-cells). Ini menjadikan kita lebih payah diserang penyakit batuk dan selesema. Ia juga menurunkan paras sekurang-kurang empat hormon yang berkaitan dengan stres.

6.    Tidur yang lena - Sering kali kita sukar mendapatkan tidur yang lena apabila menghadapi masalah dan stres. Ketawa dan gelak sebelum tidur boleh membantu anda mendapatkan tidur yang nyenyak.

7.    Ubat penahan sakit - Ketawa merupakan ubat penahan sakit semula jadi. Ketawa menyebabkan orang yang sakit lupa akan kesakitannya untuk seketika. Kajian yang dijalankan para penyelidik mendapati, kanak-kanak yang menonton filem komedi lebih tahan menghadapi sakit.

8.    Beberapa manfaat kesihatan psikologi - Ketawa boleh meningkatkan keyakinan diri dan memberi kekuatan mental untuk kita berdepan dengan konflik dan cabaran hidup. Ketawa juga membantu kita mengatasi depresi dan rasa bimbang. Ia membaiki kesihatan mental dan membantu kita melupakan segala tekanan dalam kehidupan seharian kita yang serba sibuk ini

Maka perbanyakkanlah ketawa dan senyum dalam kehidupan seharian kita. Nanum begitu harus diingat, ketawa kita janganlah ketawa yang terbahak-bahak hingga hilang nilai-nilai sopan dan kesantunan kita. Ketawa biarlah beradab. Mudahnya, senyum dan ketawalah dalam iman! Itulah senyum Rasulullah SAW.